Wednesday, September 7

Solat....? Sempurna....??

Ada seorang kawan aku bertanya kat aku,"Macamana kalau aku dah solat,tapi aku tetap jugak buat maksiat? "(Beliau me`refer' pada perbuatannya yang suka bluetooth citer blue di henpon). Aku cuma mampu jawab,"Solat tu wajib,tapi maksiat pun wajib hindar.."

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Di zaman Transformers yang serba automatik dan di hujung jari ni,semua orang nak kepada kemudahan. Semua nak senang aje. Dulu handphone besar botol air 100 Plus 1.5 liter,dulu nak internet kena sambung dengan line telefon rumah,dulu nak bayar segala macam jenis bil kena duk beratur panjang kat pejabat pos dan yang aku paling ingat,dulu nak tengok filem terkini,kena beli Video Tape Vhs yang besar gedabak macam buku teks kemahiran hidup tingkatan 3,tapi kini 9 jenis filem berlainan genre dan bahasa boleh di sumbat dalam satu Pendrive yang besar jari hantu aku aje!!!

Memang sah kita dah duduk di zaman Transformers.

Jadi,apa kena mengena tajuk kat atas dengan kemajuan teknologi Transformers sekarang ni? Di sebalik berkoyan-koyan jenis kecanggihan yang kompom memudahkan,ada perkara asas yang tidak pernah berubah,iaitu Solat. Kalau di tahun Era A-Go-Go La Obe atau di Era Umar berseluar Yankey,berkaki ayam berjambul di depan dalam filem Seniman Bujang Lapok dulu pun Solat memang di syariatkan 5 waktu sehari semalam,sampai zaman bapak canggih tahun 2020 nanti pun Solat tetap 5 waktu sehari semalam. Kalau ada yang cuba nak tambah atau bagi kurang tu dah kompom geng Ayah Pin dan yang se`geng' pengembaraan dengannya.

Cuma,realitinya semakin kita sibuk dan busy dengan kecanggihan yang kita dapat,makin Solat itu dilupakan sebagai Ibadat,tapi lebih kepada Adat. Kalau tak,takkan la masjid cuma penuh di 3 hari popular ni iaitu Hari Raya Pertama Aidilfitri,Hari Raya Pertama AidilAdha dan Hari Jumaat. Okeh,fakta di bawah ni bukan satu kajian dari aku atau Fatwa baru yang aku nak perkenalkan,ini cuma sepemerhatian aku pada aku sendiri yang pernah lalui zaman kegelapan ego tak nak sujud pada Penciptanya. Dulu-dulu pun aku bengong jugak!!

1.`Tahu Wajib'
Popular pada masyarakat Malaysia kerana kebanyakkan orang walaupun tidak Solat tetapi tak pernah menganggap Solat itu tak wajib sebab takut jadi Kafir. "Aku tahu Solat tu wajib,cuma aku belum rasa nak buat lagi..." Padahal mengikut pandangan Mazhab Hanbali,tidak Solat boleh menjadikan seseorang itu kafir kerana melanggar perintah Utama Allah!! Boleh di hukum bunuh ooo!!!

2.`Wajib Bertempat'
Popular di zaman sekarang dan di semua peringkat umur. Golongan pengamal Solat jenis ni selalunya menjadikan Solat ini Wajib pada masa yang dia rasa sesuai sahaja. Selalu berlaku pada orang yang sukar bangun Subuh. "4 waktu aku tak tinggal,Subuh je susah sikit. Tiang Agama kan 5,kalau 4 waktu aku dah buat,balance lagi tu...Lagipun kerja macam aku ni memang tak cukup tidur..."

3. `Wajib Sendiri Hukum'
Popular juga di zaman Transformers sekarang ni dan melibatkan golongan remaja dan ke atas. Selalunya gemar memilih untuk meninggalkan Solat kerana urusan dunia tapi akan Qada` balik. Para remaja yang suka menonton wayang tiket pukul 7.30 malam adalah contoh bapak senang. "Tiket pukul 7.30,kalau aku Solat dulu nanti rugi la 15 minit Movie ni. Takpe,nanti balik Qada`..."

4.`Berkala @ ikut Mood'
Bukan berlaku di zaman Transformers ni aje,juga berlaku di zaman lagu R.Azmi-Pakai Baju Kancing Suasa menjadi juara carta popular radio di tahun tersebut. Para pengamalnya mengambil pendekatan seperti Solat  4 bulan,tak Solat 6 bulan. Nanti bila kadar keinsafan diri dah mula turun indeksnya,maka kembali lah tak Solat. Dan bila Insaf tu datang balik,maka akan Solatlah semula orang ni.

5.`Bila Susah'
Lebih kurang sama dengan 'Berkala @ ikut Mood',cuma Solat jenis ni pulak,biasanya para pengamalnya mendapat keinsafan jangka pendek dari kerana musibah dan peristiwa yang berlaku di sekelilingnya. Senang citer,bila susah baru nak ingat Allah. Selalu berlaku pada Jejaka dan Dara yang putus cinta atau bussinessman yang baru bankrup.

6.'Bermusim'
Juga lebih kurang sama dengan`Berkala @ ikut Mood' cuma kali ini pengamalnya Solat ikut musim dan trend. Selalu pengamalnya kelihatan di masjid di Hari Raya Pertama Aidilfitri dan Hari Jumaat. Juga kelihatan mampu berterawih selama sebulan di bulan Ramadhan.

7.'Redah'
Berlaku pada ramai orang kerana para pengamalnya Solat penuh dan cukup 5 waktu tetapi dalam masa yang sama maksiat pun `Redah' jugak. Para lelaki dan wanita yang tak tutup aurat adalah pengamal popular Solat jenis ini kerana alasan `Aurat dan Solat adalah perkara berbeza'. Yang anehnya,kadang-kadang para AJK masjid pun terlibat sama dalam golongan jenis Solat ini. "Lepas Subuh ni nanti,ko sms aku result 4D semalam ye,aku nak buat research..."

8. 'Politik & Wayang'
Ini jugak jenis yang popular di amalkan. Jenis pengamalnya ini biasanya akan Solat bila orang tengok,bila duk sorang-sorang haram tak buat. Selalu golongan korporat dan politician biasa buat Solat jenis ni kerana masuk Tv dan nak lobi projek. Tetapi sinonim pada jejaka yang nak bodek hati mak mertua. "Bagus bakal menantu aku ni,rajin Solat..."

9. 'Segan Terpaksa'
Macam `Politik & Wayang',cuma bezanya orang yang tergolong dalam kelompok ini biasanya dia akan Solat bila semua orang Solat,sebab kalau tak Solat takut segan dan dikutuk member. Biasanya kaum wanita familiar dengan jenis Solat ni kerana rajin Solat di tempat kerja bersama kawan-kawan tapi kat luar tempat kerja tak Solat pun.

10. 'Ekspress'
Pengamal Solat jenis ini selalunya membaca Al-Fatihah dengan 2 nafas sahaja dan Solat Isyak 4 rakaat hanya 2 minit setengah aje. Namun kadangkala,kerana terlalu Ekspress,Tho`ma`ninah pun langgar aje kadang-kadang. Kerana itulah ianya di panggil Ekspress,kerana pantasnya pengamalnya itu Solat.

11. 'Sempurna'
Pengamal Solat ini adalah seorang yang benar-benar ikhlas dalam menunaikan Solat serta sempurna bacaan serta rukunnya serta Solat itu mampu memelihara dirinya dari melakukan maksiat.

12.'Mayat'
Semua manusia akan melaluinya walaupun tak pernah solat seumur hidup,iaitu di solatkan bila dah jadi mayat. Waktu ni,kalau tak nak solat pun,orang akan solatkan kita!!

Jadi,di zaman transformers ini,jangan la kita laksanakan Solat dengan `cincai',laksanakannya lah dengan sempurna. Kelak nanti bila kita dah kena kapan,maka antara soalan awal yang di tanya adalah Solat. Time tu,kalau korang time hidup dulu sedekah 16 juta dekat rumah anak yatim pun takde pekdahnya sebab kompom tak di kira sebab yang asas dan utama iaitu Solat tak pernah buat.!!

“Sesungguhnya yang paling awal akan dihisab di hari akhirat daripada amal perbuatan ialah solat dan sekiranya baik (solatnya) maka telah berjaya dan selamat dan sekiranya rosak (meninggalkan) solatnya maka gagal dan rugilah dia serta jika berkurang pahala dari solat wajibnya maka akan berkatalah tuhan yang Mulia dan tinggi : Lihatlah apakah hambaku ini ada melakukan solat sunat dan tampunglah apa yang kurang dari yang wajib dan kemudian jadikanlah seluruh amalannya seperti itu” 
(hadith sahih riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi dan Ibn Majah).

p/s: untuk cadangan,jika korang nak memperbaiki Solat korang,aku cadangkan sebuah buku tulisan Ust Zaharudin Abd Rahman-Formula Solat Sempurna. Best recomenndeddd!!!

Lengkap dengan ilustrasi dan padat dengan informasi. Aku yang bengong ni banyak belajar dari buku ni. Boleh di jadikan hadiah pada isteri atau suami yang Solatnya main-main lagi. Yang tak Solat jangan bagi buku ni,baik bagi buku KETETAPAN SEKSA KUBUR.


 Biar insaf sikit!!!!!!!!

No comments: